Sabtu, 21 Februari 2009

Kisah perempuan miskin, lembu tua dan Gaza



Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu. Iklan  
   
   
Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti. 

Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata. 

Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya. 

Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu. 

Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut. 

Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya. 

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah. 

Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ. 

Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu. 

Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana." 

Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga. 

"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing-masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu. 

Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana. 

Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza. 

Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu. 

Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?" 

Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan. 

Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah. 

Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00)! 

Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu. 

"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu. 

"Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira. 

Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah. 

Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.

Sabtu, 14 Februari 2009

Tazkirah Politik

MENURUT ulamak terkenal masa kini, Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam tulisan beliau ‘Fiqh Daulah’, di mana Islam menganggap penyertaan seseorang dalam pilihan raya dan pungutan suara serupa dengan memberi kesaksian bahawa calon yang dipilih adalah baik.

Pada pandangan beliau lagi, sesiapa yang memberikan undian/suaranya kepada seorang calon kerana alasan kerabat dekat atau sekampung, atau kerana berharap dapat mengambil manfaat bila calon itu terpilih nanti, maka dia telah menentang firman Allah di dalam Surah At-Talaq, ayat ke-2 yang bermaksud, “Dan hendaklah kalian dirikan kesaksian itu kerana Allah.”

Manakala sesiapa yang tidak menunaikan kewajipannya dalam pilihan raya (tidak keluar mengundi) sehingga golongan yang jujur kalah dan golongan yang tidak layak memimpin menang dengan suara majoriti, maka dia juga telah menentang perintah Allah dalam memberi kesaksian. Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah, ayat 282 yang bermaksud, “Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil."

"Dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan kesaksiannya dan sesiapa menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang-orang yang berdosa hatinya." (Al-Baqarah: 283)

Pemimpin bagaimana yang wajib dipilih? Pada saya, antara tugas-tugas pemimpin mengikut Islam perlu menjalankan pemerintahan berdasarkan seperti berikut:


1. menegakkan syariat Allah


2. menegakkan keadilan kepada semua rakyat


3. menjaga kebajikan dan prihatin terhadap masalah rakyat


4. perlu membangunkan negara selaras dengan prinsip Islam


5. membuka peluang pekerjaan kepada rakyat


6. memberikan hak-hak yang sepatutnya kepada rakyat


7. menjamin kebebasan kepada setiap rakyat


8. memberi kebebasan untuk memberi pendapat

Alangkah bagusnya sekiranya setiap pemimpin yang dilantik itu memahami tugas dan peranan mereka. Bukan sibuk mengumpul harta! Ada pemimpin yang dipilih merasakan title yang mereka dapat sebagai satu peluang untuk menambah kekayaan. Dulunya tiada apa, tetapi selepas jadi wakil rakyat kereta pun bertukar. Rumah pun dah banglo! Dulu nak jumpa senang saja, tapi sekarang kena melalui setiausaha peribadi! Walau pun bukan semua bersikap begitu, tapi itulah hakikatnya.

Contohnya, Khalifah Umar Al-Khattab, beliau hanya mendiami rumah yang dibina dari tanah liat. Hidup secara sederhana. Begitu zuhud kehidupannya, tetapi pemerintahannya begitu hebat dan digeruni musuh. Dapat meluaskan empayar Islam. Begitu juga dengan Khalifah Umar Abdul Aziz. Baginda juga terkenal dengan kezuhudannya. Pemerintahannya walaupun begitu singkat tetapi di zaman pemerintahannya tiada rakyat yang miskin. Hinggakan pada waktu itu tiada seorang pun rakyat yang layak menerima zakat. Mungkin itu sebabnya beliau menjadi idola Lim Guan Eng, KM Pulau Pinang.

Bagaimana pula dengan remaja? Pernah dalam suatu acara, undian SMS mengikut kajian lebih 4 juta lebih orang remaja mengundi untuk artis. Tetapi dalam pilihanraya, purata besar mereka tidak keluar mengundi. Apa sudah jadi ni? Ingat remaja juga perlu digembelingkan untuk memenangkan pemimpin seperti yang bercirikan di atas.

Sekian, sembang-sembang menyambut pilihan raya kecil antara 2 bukit, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.. Undilah Pas!

Wallahu ‘alam.

Khamis, 12 Februari 2009

Hukum Rai Valentine & Jual Bunga


1) Perayaan dalam Islam telah disebutkan oleh Nabi iaitu dari sabdaan Nabi SAW :

ن لكل قوم عيدا وإن هذا عيدنا)

Ertinya : Sesungguhnya bagi setiap kaum itu perayaan masing-masing, dan ini (IdilFitri dan Idiladha) adalah perayaan kita" ( Riwayat AL-Bukhari, 952 ; Muslim, 1892)

Justeru, sebarang perayaan yang disambut oleh umat Islam mestilah terhad kepada dua perayaan ini sahaja.

Bagaimanapun, jika sesuatu majlis, keraian dan sambutan itu dianjurkan bukan atas asas atau nama agama serta tiada kaitan dengannya bahkan dibuat atas dasar adat semata-mata. Ianya boleh dan harus diraikan dengan syarat sambutannya tidak diserapi apa jua unsur maksiat dan syirik. Sebagai contoh sambutan kemerdekaan Negara, sambutan ulangtahun penubuhan sesebuah syarikat dan sebagainya. Cuma ia bukanlah disambut sebagai hari raya ketiga atau keempat, tetapi hanya sebagai majlis keraian setaraf dengan majlis perkahwinan dan sepertinya sahaja.

Ini bermakna, tujuan dan asal usul perayaan itu perlulah disemak. Maka jika disemak perayaan Valentine ini. Ternyata ia berasal dari cerita dongeng, karut dan syirik berakitan dewa dan sebagainya.

 

2) Tidak harus pula meniru orang Kafir dan ahli maksiat dalam meraikan majlis yang dianjurkan. Imam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim telah menyebut bahawa telah Ijma' (sepakat keseluruhan Ulama) melarang penyerupaan dalam meraikan perayaan agama ( atas asas agama) selain Islam. ( Iqtidha, 1/454 ; Ahkam Ahli Zimmah, 2/722)

 

3) Islam tidak mengiktiraf hari kasih sayang. Kasih sayang dalam Islam bersifat universal, tidak dibatasi waktu dan tempat dan tidak dibatasi oleh objek dan motif. Hal ini sesuai dengan hadis :

"Cintailah saudara seislam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari).

Islam sangat melarang keras untuk saling membenci dan bermusuhan, namun sangat menjunjung tinggi akan arti kasih sayang terhadap umat manusia.

Rasulullah saw. bersabda : "Janganlah kamu saling membenci, berdengki-dengkian, saling berpalingan, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Juga tidak dibolehkan seorang muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa) terhadap saudaranya lebih dari tiga hari" (Muslim)

Kasih sayang dalam Islam diwujudkan dalam bentuk yang nyata seperti silaturahmi, menjenguk yang sakit, meringankan beban tetangga yang sedang ditimpa musibah, mendamaikan orang yang berselisih, mengajak kepada kebenaran (amar ma'ruf) dan mencegah dari perbuatan munkar

 

4) Sambutan hari Valentine hari ini menjadi semakin terkeji apabila ia menjurus kepada perlakuan maksiat, mengadaikan ‘dara' kepada kekasih yang bernafsu ‘syaitan' dan sepertinya.

 


5) Islam juga melarang umatnya dari terlibat, duduk serta bersekongkol dalam majlis yang mempersendakan Islam dan bercanggah dengannya. Ini dari firman Allah yang bererti :

 

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا

"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur'an bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Karena sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahanam" ( An-Nisa : 140 )

Diriwayatkan dari Umar r.a. bahwa dia pernah mendengar Rasulullah s,a.w. bersabda:

"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah duduk pada suatu hidangan yang padanya diedarkan arak." (Riwayat Ahmad)

Maka majlis arak yang haram itu adalah sama hukumnya dengan majlis Valentine yang juga haram.

 

6) Hukum memberikan hadiah sempena hari Valentine juga adalah menjadi haram berdasarkan kaedah dari firman Allah : "Janganlah kamu bantu membantu dalam perkara dosa dan permusuhan"

Bagaimanapun hukum menjual bunga sahaja, ia tidak kurang dari kategori jualan yang syubhah, makruh atau haram khas di hari Valentine.

Diriwayatkan, ada seorang laki-laki yang memberi hadiah satu bekas arak kepada Nabi s.a.w., kemudian Nabi memberitahu bahwa arak telah diharamkan Allah. Orang laki-laki itu bertanya:

Lelaki: Bolehkah saya jual?

Nabi: Zat yang mengharamkan meminumnya, mengharamkannya juga menjualnya.

Lelaki: Bagaimana kalau saya hadiahkan raja kepada orang Yahudi?

Nabi: Sesungguhnya Allah yang telah mengharamkan arak, mengharamkan juga untuk dihadiahkan kepada orang Yahudi.

Lelaki: Habis, apa yang harus saya perbuat?

Nabi: Tuang saja di dalam parit air. (Al-Humaidi dalam musnadnya)

Justeru, kita dapat melihat bahawa benda yang haram, maka haram juga dijualnya mahupun dihadiahkan. Dalam hal menjual bunga, ia juga boleh menjadi syubhah di hari Valentine seperti ini, kerana diketahui ianya dibeli khas untuk mearikan Valentine yang haram. Seperti juga hokum menjual anggur kepada tukang buat arak yang telah diketahui. Ia tidak dibenarkan dalam Islam menurut pendapat yang terkuat.

 


7) Dilarang juga saling mengirim ucapan bersempena hari ini.

  

Sebagai peringatan buat yang lupa. Jangan Sambut hari VALENTINE!!!!!

Rabu, 28 Januari 2009

Sep 2005 - Jan 2009

Satu2nya adik pompuan aku

Adik aku (Bertubuh sasa)

Ni Adik aku yg last n kedua last (Hampa tunggu aku balik)

1) Sep 2005 - Jan 2009, hampir 4 tahun aku tidak bersua keluarga tercinta, yang kedengaran hanyalah suara melalui perbualan e-voiz itupun bergantung kepada line internet....

2) Kini aku telah mengerti erti hubungan kekeluargaan yg perlu dijaga sampai bila-bila...

3) Insyallah aku akan lakukan yang terbaik untuk membela nasib insan-insan tersayang ini...

4) Teruskan berdoa kepadaku: Rezeki, Kemudahan dan Kemulian terus dikecapi....

5) Terima kasih....

Khamis, 22 Januari 2009

Rajin dan Jujur Tunas Pengetahuan

Awal mulanya masuk sekolah

Mengatur langkah jangan tersalah

Salam dan selawat kepada Rasulullah

Supaya kita diberkati Allah


 

Tangan ibu dicium mesra

Kerana dia melahirkan kita

Dengarkan baik semua bicara

Patuh dan taat menurut kata

 

Dari malam menjelang subuh

Jangan dibuang masa yang labuh

Usah diamalkan perangai bertangguh

Segeralah belajar bersungguh-sungguh

 

Makan dan minum mesti teratur

Sangatlah baik roti dan telur

Otak berkembang sanubari pun subur

Hati terang seperti obor

 

Waktu mentelaah minumlah susu

Supaya badan tiada lesu

Pelajaran pun maju serta bermutu

Kemungkinan periksa dapat nombor satu

 

Pastikan belajar setiap hari

Bersama guru yang bijak bistari

Amalkan sifat mengulangkaji

Mudah-mudahan dapat masuk universiti

 

Ilmu itu sangat berharga

Pelajarilah ia sedaya upaya

Sampaikan berjaya membantu keluarga

Tumpahkan bakti pada negara tercinta


 

Mengaji Quran sungguh bermakna

Jiwamu harum seperti bunga

Fikiran pun tenang walau di mana

Takwa bercambah di taman sukma

 

Pelajaran adalah ilmu yang abadi

Siapa yang dapat tiada yang rugi

Dituntut hingga ke merata negeri

Kebahagiaan melimpah silih berganti